| |
| Utusan Malaysia newspaper (Malaysia) |
| 28 January 2006 |
Tioman bakal dominasi destinasi ulung
luncur air
Oleh MOHD.HAZLI
HASSAN
[rekreasi@utusan.com.my]
Foto www.divetenggara.com
JIKA sebelum ini Pulau Tioman uang terletak
kira-kira 56 kilomater dari Tanjung Gemok,
Pahang hanya dikenali sebagai syurga penyelam
skuba dan destinasi percutian terkemuka
di Pantai Timur namun kini pulau bebas cukai
itu semakin dikenali sebagai lokasi luncur
air yang setanding dengan Bali di Indonesia.
Pulau yang mempunyai keluasan 38 kilometer
panjang dan 19 kilometer lebar itu semakin
mendapat kunjungan peluncur air dari seluruh
dunia yang turut mengatakan ia mempunyai
gulungan ombak yang mampu memberikan kepuasan
kepada peluncur air.
|
|
|
|
|
KEJERNIHAN
air dan keaslian kawasan timur Pulau
Tioman mampu memikat pelancong asing
untuk beriadah di situ.
|
|
Namun bukan semua lokasi yang ada di Pulau Tioman
mempunyai lokasi luncur air dan yang paling kerap
dikunjungi ialah kawasan pantai Kampung Juara
yang terletak di timur pulau berkenaan dan juga
Kampung Tekek.
Kampung Juara yang agak terasing daripada semua
kampung yang ada di Tioman sebenarnya sudah mempunyai
pelbagai produk pelancongan terutama riadah sukan
ekstren termasuk mendaki tebing.
Walaupun dipisahkan oleh banjaran gunung yang
ada di Pulau Tioman namun ia sering dikunjungi
oleh pelancong dalam dan luar negeri kerana Kampung
Juara masih berkeadaan seperti asal dan asli.
Selain Karang Balau, tebing yang sering menjadi
tumpuan pandaki tebing dan pintu masuk laluan
ke Bukit Kajang, bukit setinggi 1,038 meter yang
turut terkenal di kalangan pendaki, Juara juga
mempunyai air terjun Lubuk Tija, iaitu lokasi
perkhemahan terkemuka Tioman.
Mungkin bagi orang ramai, menjelajah selama 45
minit menggunakan kenderaan pacuan empat roda
melalui laluan tanah merah sejauh 7 kilometer
yang terbentuk ketika kedatangan pelarian hanyut
Vietnam dahulu kala ke Kampung Juara mungkin agak
pelik.
Tetapi bagi peluncur air, ini merupakan salah
satu daripada keunikan yang disajikan oleh Pulau
Tioman untuk mereka walaupun mereka terpaksa mengangkut
pelbagai peralatan luncur air yang banyak.
Selain gulungan ombak ganas antara Disember dan
Februari yang mampu memberikan satu keseronokan
kepada penggemar aktiviti ini, berada di Kampung
Juara sahaja sudah cukup memberikan kelainan.
Segenap benua
Tidak banyak gangguan berbanding lain-lain kampung
di Pulau Tioman. Inilah yang dicari-cari oleh
peluncur air dari segenap benua di dunia.
Lebih asli lebih baik dan bagi mereka kemudahan
dan infrastruktur moden hanya sebagai bonus tambahan
kerana bagi peluncur air, kawasan yang asli akan
memberikan keselesaan meluncur tanpa gangguan.
Ini boleh dilihat di Kampung Juara di mana ramai
pelancong dari luar negara yang membawa kelengkapan
meluncur mereka akan menginap selama beberapa
minggu di situ.
Ini sebenarnya hanya untuk memastikan mereka memperoleh
masa serta formasi gulungan ombak yang sesuai
bagi membolehkan luncuran dilakukan dengan baik.
Selain beberapa lokasi di pantai Kampung Mentawak,
Juara, destinasi seperti Pulau Seri Buat yang
terletak kira-kira setengah jam perjalanan menggunakan
bot laju juga turut menjadi pilihan.
Biarpun jauh, namun ia berbaloi dengan sajian
gulungan ombak yang menjadi idaman peluncur termasuk
ia masih asli dengan keadaan asal.
Namun dalam mencari gulungan ombak terbaik di Pulau
Tioman, musim angin monsun timur laut yang melanda
negara dari Disember hingga Februari merupakan masa
yang paling sesuai untuk sukan itu dan tidak sepanjgan
masa seperti di Bali.
Menurut salah seorang peminat sukan berkenaan yang
juga anak jati Pulau Tioman, Sharulrizan Salleh,
25, kategori ombak yang ada di Kampung Mentawak
Pulau Tioman itu boleh dikatakan sama sahaja dengan
apa yang ada di Bali.
Menurutnya, ombak Pulau Tioman membolehkan peluncur
air bermain sama ada di bahagian kanan atau kiri
di mana 'point break' ombak berkenaan berpecah dua
untuk memberikan kebebasan kepada peluncur air untuk
memilih.
"Tidak seperti di Cherating yang hanya memberikan
luncuran di bahagian kiri, (Kampung) Mentawak memberikan
senario berganda kepada peluncur untuk membolehkan
mereka memilih," katanya.
Selain itu, kata Sharulrizan, ombak yang ada pada
bulan Januari tidak berapa kuat namun tetap memberikan
luncuran terbaik kepada peluncur air disebabkan
kategori ombak yang tidak menentu atau lebih dikenali
sebagai 'wave pub' di kalangan peluncur.
Apapun keseronokan yang ditunjukkan oleh sukan ini,
Wan Norazizi Wan Endut, 23, yang sudah beberapa
tahun berkecimpung dalam sukan ini turut memberi
peringatan supaya mereka yang baru menceburi bidang
ini mempelajarinya dengan teliti.
Sukan ini, menurutnya, turut mempunyai risikonya
tersendiri termasuk digulung seolah-olah mesin basuh
ketika terjatuh dari papan luncur di dasar laut.
"Jadi, seorang peluncur itu perlu mempunyai
stamina yang kuat dan tidak panik ketika terjatuh
dari papan luncur bagi mengelakkan kejadian yang
tidak diingini," katanya.
Untuk keterangan lanjut mengenai aktiviti luncur
air, orang ramai boleh menghubungi Lembaga Pembangunan
Tioman (TDA) di A145-147, Lorong Tun Ismail 6, Sri
Dagangan, Kuantan atau menghubungi 09-5141206 serta
facsimile 09-5148801.
Mereka juga boleh melayari laman web www.tioman.com
atau e-mel tioman@mytioman.com.my.
|
|
|
PANTAI
Kampung Mentawak merupakan antara
destinasi luncur air terkemuka negara
ini selain Cherating di Pahang.
|
|
|
|
|
|
GULUNGAN
ombak di pantai Kampung Mentawak dikatakan
sama taraf dengan Pantai Kuta dan
Uluwatu di Bali, Indonesia pada masa-masa
tertentu.
|
|
|