PRESS ROOM

 
Harian Metro newspaper (Malaysia)
25 December 2007

Oleh: Fairul Asmaini Mohd Pilus


Remaja YKPM belajar masak

Kelas 'Little Chefs - A Day of Bliss, A Time to Give' beri peluang remaja pelajari hidangan ayam belanda.

KEHADIRAN Krismas nyata memberi kegembiraan buat lapan remaja daripada Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (YKPM) kali ini.

Remaja berusia bawah 16 tahun daripada yayasan di Taman Prima, Selayang, itu terpilih mengikuti acara bertemakan 'Little Chefs - A Day of Bliss, A Time to Give' anjuran Hotel and Resort Berjaya dengan sokongan Persatuan Yellow House di Hotel & Pusat Konvensyen Berjaya Times Square di ibu negara, baru-baru ini.

Semua peserta berasal daripada keluarga berpendapatan rendah di Selayang berkenaan diberi peluang untuk menginap dan mempelajari cara membuat dua hidangan popular Hari Krismas iaitu ayam belanda dan roti halia dengan bimbingan chef hotel berkenaan.


Pengarah Komunikasi Pemasarannya, Thang Han-Ni berkata, kali ini pihaknya memilih mengadakan pendekatan yang berlainan berbanding program biasa bagi memberi peluang kepada remaja terbabit mempelajari sesuatu yang baru menerusi kelas masakan.

Katanya, masyarakat perlu mendidik golongan yang tidak berkemampuan ini untuk berusaha memiliki sesuatu yang diingini dan bukannya sekadar memberi semata-mata.

"Mereka perlu diajar sejak kecil cara untuk mendapatkan sesuatu yang diingini. Mereka tidak boleh duduk saja dan mengharap bantuan daripada orang luar kerana kelak masing-masing akan berdepan dengan kehidupan mencabar.

"Penganjuran program ini bukanlah sekadar kelas masakan tetapi di sebaliknya, mereka dapat mempelajari pelbagai perkara baru seperti semangat setiakawan, bantu-membantu, keyakinan diri dan pada masa sama, berkongsi kegembiraan," katanya.

Sushanti Roy, 12, dari Selayang, berkata, dia begitu gembira terpilih untuk menyertai program terbabit.

Dia dan tiga lagi rakannya ditugaskan untuk mempelajari cara membuat roti halia dan ia amat menyeronokkan apabila dapat bermain dengan adunan doh.

"Saya memang menggemari roti halia dan ini adalah kali pertama dapat membuatnya sendiri. Sungguh menyeronokkan kerana chef tidak lokek berkongsi petua dan mengajar kami dengan penuh sabar.

"Pada mulanya saya dan rakan agak kekok dan malu-malu tetapi lama-kelamaan perasaan berkenaan hilang dengan sendiri," katanya yang mengakui ia bagaikan hadiah Krismas terbaik buat dirinya.

Bagi pasangan adik beradik, Amanda Silvana Mark Silvanus, 12 dan kakaknya, Crystalla, 13, mereka ternyata amat gembira kerana berpeluang mempelajari cara untuk memasak sendiri ayam belanda.

Kata Amanda, selama ini, mereka jarang berpeluang menikmati hidangan berkenaan kerana ia mahal dan keluarga tidak berkemampuan.

"Menyediakan hidangan ini tidaklar sesukar yang difikirkan sebelum ini. Ia memang menyeronokkan apabila kami semua berganding bahu bersama-sama membersih, mengurut dan meletakkan ramuan di atas badan ayam berkenaan," katanya.

Setiap peserta program itu turut menerima lima bungkusan roti halia yang akan diberikan kepada insane yang mereka sayangi dan hargai di kawasan kejiranan masing masing.

Setiap pek roti halia itu turut diselitkan sekeping kad mengandungi mesej peribadi terhadap penerima sempena Krismas.

"Biarpun tidak seberapa tetapi ia sungguh bermakna apabila dapat menghadiahkan sesuatu kepada insane yang kita sayangi," kata mereka.


 

Copyright © 2006 Berjaya Hotels & Resorts