| KOSMO!
Newspaper (Malaysia) | | 24 November 2007 | Oleh
ROZAIMI ISAHAK Santai di Pulau Tioman

Pantainya yang putih bersih dan air jernih bak kristal menjadikanya syurga kepada
pelancong. Pulau Tioman di Pahang adalah antara 10 buah pulau tercantik
di dunia. Faktor kehijauan alam semula jadi, keindahan alam marin, penduduk yang
ramah dan penginapan selesa menjadi antara tarikan yang menggamit pelancong dari
dalam dan luar negara. Pantainya yang putih bersih dan kejernihan air bak
kristal menjadikannya syurga kepada pelancong untuk melihat keindahan dasar laut.
Terdapat juga beberapa buah pulau lain yang berdekatan antaranya Pulau Tulai,
Pulau Sembilang, Pulau Chebeh, Pulau Seri Buat, Pulau Jahat, Pulau Sepoi, Pulau
Labas dan Pulau Tokong Bahara. Bagi mereka yang menggemari sukan menyelam
skuba, di sinilah tempat yang sesuai untuk menyaksikan keindahan dasar lautnya.
Baru-baru ini, penulis bersama rakan Go_Climb bercuti di Pulau Tioman sempena
kempen Tahun Melawat Malaysia 2007. Kami ke pulau ini untuk menyaksikan keindahan
dasar laut dan berbasikal merentas jalan berbukit. Kami menginap di Berjaya Tioman
Beach Golf & Spa Resort selama tiga hari dua malam. Perjalanan dari Kuala
Lumpur pada pukul 6 pagi dengan bas menuju ke jeti Tanjong Gemok di Rompin, Pahang.
Terdapat sebuah lagi jeti lagi yang boleh digunakan untuk sampai ke Pulau Tioman
iaitu jeti Mersing, Johor. Kami sampai dii jeti Tanjong Gemok pada pukul 11.45
pagi. Tepat pukul 12 tengah hari, kami menaiki feri menuju ke Pulau Tioman
sambil melihat keindahan Laut China Selatan dan pulau-pulau kecil berhampiran.
Semua yang dilihat menambahkan lagi keasyikan kami untuk menjamu mata sebelum
sampai ke pulau indah ini. Saya dan rakan-rakan sampai di Berjaya Tioman
Beach & Spa Resort agak lewat disebabkan feri berhenti untuk menurunkan penumpang
di Kampung Mukut, Kampung Nipah, Kampung Genting dan Kampung Paya. Kampung Tekek
adalah perhentian feri kami sebelum meneruskan perjalanan dengan bas yang disediakan
oleh pihak Berjaya Beach Golf & Spa Resort untuk mendaftar masuk chalet penginapan.
Walaupun lewat sampai iaitu kira-kira 3 petang, pihak resort masih lagi
memberi peluang kepada kami untuk menikmati makanan tengah hari yang telah disediakan.
Setelah selesai makan dan pendaftaran bilik, saya dan rakan-rakan tidak melepaskan
peluang untuk berbasikal. Ada juga yang menyewa van untuk ke Taman Laut di Kampung
Tekek pada pukul 4 petang. Tidak semua mengikuti aktiviti pada petang ini
kerana ada yang keletihan dan memilih untuk berehat setelah perjalanan jauh yang
memenatkan. Setelah agak lama tidak mengayuh basikal kaki memang terasa
agak lenguh. Mujurlah ada kawan-kawan yang memberi semangat. Keadaan jalan
yang berbukit dan mendatar membuatkan badan terasa keletihan. Walaupun hembusan
angin laut sesekali menyejukkan badan untuk seketika, cuaca panas berbahang menyebabkan
Razi dan Rijal terpaksa membuka baju. Nampak seperti pelancong luar pula lagaknya
membuatkan kami semua tergelak besar. Bagi mereka yang menyewa van, tiada masalah
yang dihadapi dan mereka lebih cepat sampai ke tempat yang dituju berbanding kami
yang mengayuh basikal. Penduduk kampung yang ditemui semuanya peramah,
justeru mudah bagi kami mendapatkan maklumat untuk pergi ke sesuatu tempat. Senyuman
dan keramahan mereka adalah untuk semua tanpa mengira pelancong dalam atau luar
negara. Di Taman Laut, terdapat kedai yang menyewakan alatan snorkeling.
Di jeti taman ini, kelihatan ramai budak-budak kampung sekitar usia lapan hingga
12 tahun melakukan terjunan aksi bebas. Setelah agak lama melihat ikan yang jelas
kelihatan dari permukaan laut, saya dan Rijal mempelajari terjunan bebas dari
budak-budak kampung tersebut. Pada mulanya agak berdebar dan ada juga perasaan
malu untuk melakukan terjunan dari jeti ke laut dengan kedalaman sekitar 20 kaki
hingga 30 kaki. Maklumlah ramai pelancong asing dan tempatan memerhatikan kami.
Saya, Rosdi dan Rijal bertekad untuk terjun gaya bebas itu bersama, sehinggakan
Roslee menjadi bosan melihat gelagat kami yang kebudak-budakan. Keseronokan
melakukan terjunan membuatkan kami terlupa matahari telah mula melabuhkan tirai
bagi menandakan aktiviti hari pertama berakhir. Semua selama sampai di chalet
penginapan sekitar pukul 7.45 malam. Aktiviti malam tidak banyak dapat dilakukan
dan kami hanya sekadar berbual kosong ditepi pantai sambil mengambil angin.
Keesokan
paginya, kicauan burung membangkitkan lena kami daripada tidur pada hari kedua.
Selesai solat subuh, semua sepakat menunggu di dewan makan pada pukul 7.30 pagi.
Selesai bersarapan, aktiviti berbasikal, treking dan snorkeling bermula lagi.
Kami berpecah menjadi kumpulan lebih kecil untuk memudahkan aktiviti dan bertukar
pendapat serta cerita. Kumpulan pertama melakukan aktiviti snorkeling di
beberapa buah pulau dan pantai sekitar Tioman sejak pada pukul 10 pagi. Kumpulan
kedua yang berbasikal, treking dan snorkeling di Taman Laut bermula pada waktu
yang sama. Manakala kumpulan ketiga pula menyewa van dan hampir kesemuanya
wanita. Tempat tujuan mereka adalah sama iaitu ke Taman Laut. Tepat waktu
dijanjikan, aktiviti bermula dan masih lagi menempuh laluan yang sama seperti
hari sebelumnya. Tetapi kali ini, kami mengambil kesempatan untuk melihat aktiviti
penduduk kampung di sepanjang laluan ke Kampung Tekek. Kebanyakannya masih lagi
mencari rezeki sebagai nelayan dan pengusaha chalet. Terdapat banyak kemudahan
yang sedang dibangunkan di kawasan kampung ini, antaranya kompleks bebas cukai,
pejabat imigresen dan jeti kapal layar. Melalui dereten kedai ke Kampung
Tekek, kami tidak melepaskan peluang membeli cenderamata serta baju-T sebagai
buah tangan untuk keluarga dan rakan-rakan yang tidak mengikuti percutian ini.
|